AKID TERPANTAS KELAYAKAN CP150 TEMERLOH

AKID TERPANTAS KELAYAKAN CP150 TEMERLOH

Selepas tiga pusingan, pelumba rookie, Md Akid Aziz semakin menunjukkan belangnya apabila muncul pelumba terpantas sesi kelayakan CP150 pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mencatat masa terpantas 42.574s yang juga merupakan catatan rekod baharu di Temerloh mengatasi catatan terdahulu milik Md Zaqhwan Zaidi, 43.531s yang dilakukan pada musim lepas.

Akid yang juga merupakan juara dua kali CP115 dan juga juara bertahan Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) berjaya mengatasi Mohd Hafiz Nor Azman (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) yang terlebih dahulu mencatat masa terbaik 42.730s.

Sementara itu Md Helmi Azman (Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing) yang memacu jentera Honda mencatat masa ketiga terpantas dengan 42.756s diikuti pendahulu keseluruhan, Ahmad Afif Amran keempat, 42.828s dan Kasma Daniel Kasmayuddin kelima, 42.831s.

“Walaupun mencatat masa terpantas, namun saingan sangat sengit kerana hanya 0.5 saat yang memisahkan kesemua 10 pelumbay ang layak ke Superpole esok,” jelas Akid.

Sementara itu, rakan sepasukan Akid, Md Haziq Fairues mencatat masa terpantas 44.850s di dalam kelas CP115 diikuti  Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) dengan masa 44.892s dan pelumba pasukan persendirian, Md Hafizuddin Azahar yang menaiki podium pusingan lepas ketiga terpantas, 45.053.

Dalam saingan WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman dari pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing akan memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mengungguli sesi kelayakan Shootout dengan catatan masa 45.465s.

KEPUTUSAN PUSINGAN KELAYAKAN

CP150

  1. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 42.574s
  2. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 42.730s
  3. Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 42.756s
  4. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 42.828s
  5. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 42.831s

CP115

  1. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 44.850s
  2. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 44.892s
  3. Md Hafizuddin Azahar (MLK) Persendirian 45.053s
  4. Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 45.108s
  5. Luqman Shakiemi Hakim (NSN) Modenas Racing Team 45.232s

Shootout

WIRA KBS

  1. Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 45.465s
  2. Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Redzuan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 45.822s
  3. Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha 45.983s
  4. Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 46.036s
  5. Zaifi Zaini (SBH) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 46.068s
No Comments

Post A Comment