MCPRD02: FAZLI TAWAN BATU KAWAN BUAT KALI KETIGA

MCPRD02: FAZLI TAWAN BATU KAWAN BUAT KALI KETIGA

Ahmad Fazli Sham mencatat rekod tersendiri apabila muncul pelumba terbanyak memenangi perlumbaan kelas perdana CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS setelah meraih kemenangan ketiga di Litar Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor berusia 34 tahun itu menamatkan 18 pusingan perlumbaan di litar sepanjang 1.265km itu dengan masa 16’18.041s, 2.088s dihadapan pencabar terdekat, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 16’20.129s. Md Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) di kedudukan ketiga dengan masa 16’20.196s.

Peringkat awal perlumbaan menyaksikan dua pelumba muda, Hafiz Nor Azman dan Kasma Daniel Kasmayuddin bersaing sengit di hadapan sebelum masalah mekanikal jentera Kasma memaksa juara pusingan pertama itu menarik diri dari perlumbaan seawal pusingan ketiga.

Masalah itu bagaimanapun tidak memberi kelebihan untuk Hafiz menjarakkan diri di hadapan sebaliknya rakan sepasukan Kasma, Ahmad Fazli berjaya merapatkan jurang sebelum memintas pelumba itu pada pusingan kelima dan mendahului kedudukan sehingga ke garisan penamat.

“Jentera kami begitu pantas. Jika bukan sebab masalah mekanikal, sudah tentu kami dapat ulang kemenangan satu – dua di pusingan pertama dahulu. Meskipun Hafiz bermula dengan agresif, saya yakin dia tidak dapat untuk menjarakkan diri dan hanya menunggu peluang untuk memintas, namun selepas Kasma terpaksa menarik diri dari perlumbaan, saya terpaksa bertindak. Tidak lama selepas itu saya berjaya memintas Hafiz dan mendahului perlumbaan,” jelas Fazli tentang kemenangan ketiganya di Batu Kawan.

Tahun 2016 menyaksikan musim ke-15 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS berlangsung di Batu Kawan. Dalam tempoh tersebut, hanya empat pelumba berjaya menang lebih dari satu perlumbaan termasuk Fazli, Norizman, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman. Fazli sebelum ini menang perlumbaan di batu Kawan pada tahun 2007 dan 2009.

Kemenangan ini meletakkan Fazli di tangga teratas keseluruhan dengan 45 mata diikuti Norizman dengan 31 mata dan Kasma ketiga, 25 mata.

Article courtesy of malaysiancubprix.com

No Comments

Post A Comment