MCPRD04: MAJU TERUS DAHAGAKAN KEMENANGAN

MCPRD04: MAJU TERUS DAHAGAKAN KEMENANGAN

Pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor tekad untuk terus mendominasi saingan CP130 apabila Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 bertandang ke litar baharu di Pasir Mas, Kelantan pada 20 dan 21 Mei ini.

Pasukan yang tampil dengan prestasi serba baharu pada musim ini dilihat cukup mendominasi saingan musim 2016 melalui kombinasi pelumba senior dan rookie, Ahmad Fazli Sham dan Kasma Daniel Kasmayudin.

“Melihat kepada bentuk litar yang dikeluarkan oleh penganjur, bentuk litar sementara di Pasir Mas ini agak mudah. Litarnya laju dan terdapat banyak laluan lurus. Ini mungkin memberi sedikit kelebihan kepada kami kerana berdasarkan pusingan-pusingan lepas, jentera kami adalah yang terpantas. Laluan mengikut arah jam juga sama seperti litar di Kangar, jadi pasukan kami yakin Fazli dan Kasma mampu mengulangi pencapaian sebelum ini,” jelas pemilik pasuka PETRONAS Yamaha Maju Motor, Yong Yin Hoe.

Selepas agak tenggelam, pasukan Maju kini kembali ke kelompok teratas pasukan Kejuaraan Cub Prix. Pasukan berusia 19 tahun itu memegang rekod sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan memenangi 12 gelaran keseluruhan, tujuh gelaran individu dan tiga gelaran berpasukan dalam kelas Expert/CP130 dan dua gelaran Novis /CP115. Namun prestasi pasukan berpengkalan di Selangor itu agak merudum selepas tahun 2008 ketika Cub Prix beralih dari kategori 125cc ke 130cc.

“Apa yang kami usahakan selama ini mula menemui hasilnya. Jentera kami yang pantas seperti yang dilihat di litar adalah hasil kajian dan pembangunan yang dijalankan oleh pasukan sepanjang lima tahun lepas. Adakalanya kami melakukan kesilapan dan pada masa sama kejayaan kami juga bukan dicapai dalam sekelip mata. Kami yakin dapat mempertahankan kedudukan kami sehingga ke penghujung musim,” jelas Yong.

Peminat pasukan Maju Motor boleh menyaksikan aksi mereka pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Pasir Mas, Kelantan pada 20 dan 21 Mei ini. Masuk adalah percuma.

Article courtesy of malaysiancubprix.com

No Comments

Post A Comment