MCPRD01: YONG YIN HOE: KASMA MAMPU SAINGI PENCAPAIAN HAFIZH

MCPRD01: YONG YIN HOE: KASMA MAMPU SAINGI PENCAPAIAN HAFIZH

Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor, Yong Yin Hoe meletakkan harapan tinggi terhadap pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayudin terutama menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, 12 dan 13 Mac ini.

Pelumba sensasi berusia 16 tahun yang mencatat pelbagai kejayaan luar biasa pada musim lepas akan beralih ke kelas CP130 pada musim ini dan Yong percaya Kasma mampu menyamai rekod Hafizh selaku pelumba termuda memenangi gelaran CP130 dalam sejarah Cub Prix.

Peralihan Kasma ke kelas CP130 sudah dalam jangkaan terutama selepas pencapaian cemerlang memenangi enam daripada sembilan perlumbaan sekaligus bergelar juara keseluruhan CP115 musim lepas.

Musim ini Kasma akan bergandingan dengan dua pelumba berpengalaman, Ahmad Fazli Sham dan Abdul Muhaimin Roslan.

“Saingan kelas CP115 musim lepas agak mudah bagi Kasma. Dia sentiasa menamatkan perlumbaan dengan berada jauh di hadapan pelumba lain. Jelas dia berada pada tahap tersendiri dan saya fikir dia juga sudah bersedia untuk berhadapan perlumbaan lebih mencabar pada tahun ini,” jelas Yong.

“Mungkin ramai masih ingat ketika pembabitan awal Hafizh di Cub Prix, Kasma juga mempunyai persamaan dengan pelumba Moto2 negara itu. Kedua-duanya mempunyai karisma tersendiri, perwatakan yang ceria, berbakat dan begitu kompetitif. Kasma juga mempunyai sikap yang adakalanya mendatangkan kesusahan kepada diri sendiri. Contohnya pada musim lepas dia melakukan ‘wheely’ walaupun bendera penamat belum dikibarkan. Dia berjaya menghiburkan penonton dengan aksinya namun tidak bagi petugas perlumbaan.”

Meskipun begitu, pasukan percaya Kasma akan mempamerkan aksi lebih matang pada tahun ini. “Saingan kelas CP130 tahun ini sangat kompetitif. Kasma perlu memberi sepenuh tumpuan untuk berhadapan pelumba-pelumba termasuk rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham, Zaqhwan Zaidi dan juga juara bertahan, Ahmad Fazrul Sham. Saingan tahun ini penting untuk proses pembangunan karier Kasma. Kita tidak sabar melihat apa yang mampu ditunjukkan oleh Kasma,” jelas Yong.

Peminat sukan permotoran boleh menyaksikan aksi pertama Kasma dalam kelas CP130 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor pada 12 dan 13 Mac ini. Masuk adalah percuma.

Article courtesy of malaysiancubprix.com 

No Comments

Post A Comment