KASMA BURU HATRIK DI MAEPS

KASMA BURU HATRIK DI MAEPS

Kasma Daniel Kasmayuddin meletakkan sasaran untuk mempertahankan kemenangan di Litar MAEPS, Serdang untuk musim ketiga berturut-turut menjelang perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 pada 7 dan 8 Julai ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mempunyai rekod cemerlang di litar MAEPS apabila meraih gelaran juara CP130 pada tahun 2016 dengan menewaskan Ahmad Fazli Sham dan Mohd Zaqhwan Zaidi dan turut muncul juara pada tahun 2017 menewaskan Mohd Ramdan Rosli dan Ahmad Afif Amran ketika kategori CP150 mula diperkenalkan.

Selain itu, Kasma turut menaiki podium apabila muncul naib juara dalam kategori CP115 ketika pertama kali MAEPS berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada tahun 2015.

“Litar MAEPS sentiasa menghadiahkan podium kepada saya. Secara peribadi, saya memang sukakan litar ini kerana sebahagian daripada litar ini cukup teknikal manakala sebahagian lagi pula memerlukan jentera yang pantas.

“Adunan kemahiran dan persiapan jentera yang terbaik oleh pasukan dapat membantu saya untuk mengejar kemenangan ketiga berturut-turut di sini,” jelas juara bertahan CP150 2017 dan juga pemenang pusingan pertama uuntuk musim 2018 di Litar Tangkak, April lepas.

Tambah pelumba berusia 18 tahun itu lagi, “Cuma saya jangkakan saingan kali ini lebih sengit. Pencabar seperti Ahmad Afif dan rakan sepasukan, Mohd Ramdan pasti menjadikan saya sebagai pelumba yang perlu ditewaskan. Begitu juga dengan pasukan lain termasuk dari jentera Honda yang semakin menunjukkan peningkatan.”

No Comments

Post A Comment