HAFIZ SASAR KEKAL KETIGA KESELURUHAN DI BANDAR PENAWAR

HAFIZ SASAR KEKAL KETIGA KESELURUHAN DI BANDAR PENAWAR

Pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor 15 dan 16 Disember ini menjadi penentu buat Md Hafiz Nor Azman untuk terus mengekalkan kedudukan selaku pelumba ketiga terbaik keseluruhan bagi kelas perdana CP150.

Selepas gelaran juara keseluruhan menjadi milik rakan sepasukan, Ahmad Afif Amran dan naib juara sah menjadi milik Kasma Daniel Kasmayuddin, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu kini bersaing rapat dengan Md Akid Aziz bagi merebut kedudukan selaku pelumba ketiga terbaik.

Hafiz kini berada di kedudukan ketiga dengan 116 mata, 14 mata mendahului Akid dan penamat di atas podium menjadi jalan selamat buat Hafiz untuk mengekalkan kedudukannya.

“Saya perlu menang atau setidaknya menamatkan perlumbaan di atas podium. Pada masa sama gandingan kami juga dalam usaha untuk memastikan gelaran juara keseluruhan turut menjadi milik pasukan CKJ Racing,” jelas Hafiz yang turut memainkan peranan penting untuk membantu Afif sepanjang musim ini.

Jelas Hafiz lagi, “Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian musim ini selepas beralih dari pasukan lama. Saya kembali ke prestasi terbaik dan lebih menggembirakan, dapat kembali ke podium selepas agak lama gagal untuk memenangi perlumbaan. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana memberi saya peluang bersama mereka pada musim ini dan berharap dapat menampilkan aksi yang lebih baik pada musim akan datang.”

Sepanjang musim 2018, Hafiz telah meraih empat podium termasuk satu gelaran juara pada pusingan keempat di Temerloh, Pahang, Ogos lepas.

No Comments

Post A Comment